RASIONAL PENUBUHAN


Dalam sesebuah organisasi, terdapat pelbagai kelompok dan peringkat pekerja yang mempunyai budaya yang tersendiri dan saling bergantung antara satu sama lain. Budaya pekerja dan kualiti sama ada positif atau negatif mudah menular di kalangan rakan sekerja. Lantaran itu, rakan sekerja menjadi faktor terpenting dalam mempengaruhi kualiti peribadi seseorang pegawai dan seterusnya budaya organisasi.

Ini adalah kerana:

i. pegawai berasa lebih selesa berbincang dengan rakan berbanding pegawai atasan mereka;

ii. lebih mudah berbincang tentang kebimbangan peribadi dan menerima pertolongan daripada mereka; dan

iii. pegawai boleh dilatih untuk memberi pertolongan yang positif dan lebih berkesan kepada rakan mereka.


MATLAMAT PENUBUHAN AKRAB


Setiap organisasi mempunyai beberapa strategi untuk meningkatkan kemantapan dan kecekapan kompetensi modal insan masing-masing. Aspek ganjaran, peneguhan dan dendaan antara strategi yang biasa digunakan dalam membangunkan modal insan dalam organisasi. Bagi menjadikan pengurusan sumber modal insan yang lebih humanistik, penubuhan kelompok rakan pembimbing atau AKRAB bertujuan :-

1. Berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Pengalaman dan pengetahuan berharga yang dimiliki oleh pegawai boleh memberi manfaat kepada organisasi. Pelbagai idea dan pemikiran kreatif akan terhasil sekiranya ia dapat dikongsi bersama warga organisasi.

2. Memberi sokongan kepada perubahan

Pegawai memerlukan pandangan dan pendapat daripada orang lain dalam menghadapi sebarang bentuk perubahan. Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai rakan yang berkebolehan dan berkemahiran untuk membantu menghadapi perubahan tersebut.

3. Memperkuatkan semangat dalam mengekalkan perubahan.

AKRAB diharap mampu membantu rakan sekerja agar perubahan positif dapat dikekalkan demi kecemerlangan diri dan organisasi.

4. Berkongsi masalah.

Perasaan dan emosi negatif yang dipendam akan mewujudkan konflik diri pegawai. Oleh itu, ia perlu disalurkan secara positif. Justeru, AKRAB boleh memainkan peranan penting dalam membantu pegawai untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pandangan serta pengalaman secara profesional.

5. Membentuk budaya kerja berpasukan.

Budaya tolong menolong, nilai-nilai kemanusiaan dan kerja secara berpasukan yang ditetapkan kepada ahli AKRAB akan menjadi role model kepada pekerja yang lain.

6. Meneguhkan perubahan yang dibuat.

Perubahan tingkah laku yang dilaksanakan oleh pegawai perlu diberi peneguhan dan kepastian agar perubahan tersebut berkekalan. Contohnya memberi idea, pandangan dan dorongan.